Pergi

Ada masa kita perlu melepaskan sesuatu walaupun kita terlalu sayang. Kerana itu juga sebahagian dari cinta, melepaskan sesuatu dan biarkan mereka bebas terbang. Kegembiraan mereka adalah kebahagiaan kita. Cinta tidak selalunya memiliki, malah juga membiarkan pergi. Sekiranya ditinggalkan pergi dan terpaksa untuk memilih untuk melepaskan, walau perit sekali hati, lepaskan lah untuk merasa lebih lega. Melihat kegembiraannya adalah kegembiraan kita juga. Namun jauh di sudut hati rasa ini masih ada untuk kamu. 

Pemimpi

Sudah setahun berlalu, baru kini aku kembali menulis kembali. Kesibukan kerja membataskan waktu untuk aku mencoret isi-isi hati yang telah pergi. Kini aku kembali untuk merawat diri dari penyakit yang dialami dan telah ditinggal pergi kekasih hati. Sukar untuk menerima kenyataan takdir yang ditentukan buat diri, namun sokongan dan dorongan dari rakan-rakan membuat aku kembali menulis dan mencoret bagi meluahkan rasa hati. Masa-masa senggang aku habiskan dengan melukis dan mendengar lagu. Itu sahaja yang mententeramkan jiwa. Terkadang perilaku-ku asing buat diri sendiri. Tidak seperti dulu. Namun aku masih ada sinar dan harapan, walau di tinggal pergi namun masih ada insan-insan yang sudi meneman dan memberi dorongan dan semangat. Mungkin ini bukanlah ruangan untuk melempiaskan rasa hati, dan barangkali sedikit sebanyak membantu aku meluah keserabutan di jiwa bilamana tiada teman sebagai pendengar. Berjuang sendiri bukanlah satu kekuatan yang semua orang mampu lakukan, namun cuba untuk dilaksanakan agar diri ini sembuh dan terus melangkah menghirup udara segar. Tidak mudah berdiri melawan diri yang kembali takut berhadapan dengan manusia. Rasa takut yang kerap kali muncul dan rasa rendah diri yang melampau membataskan segala pergerakan. Keletihan dan kelesuan memberatkan segala tindakan. Aku kini seorang pemimpi, pemimpi yang ingin terus bernyawa dan hidup, melangkah tanpa takut, dan berhati-hati dalam memberi rasa, pemimpi yang ingin berjalan memberi senyuman buat insan-insan seperti aku yang berjuang melawan ketakutan diri.